Saturday, December 10, 2011

Apa Itu Fibroid?

Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an.

Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.

Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.

Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.

Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan ini, telah mencetuskan kontroversi.

Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.

* Tidak pernah mengandung

Dr. Salleh berkata, lazimnya mereka yang tidak pernah mengandung, gemuk, berkulit hitam, mempunyai risiko untuk mendapat fibroid.

“Bagaimanapun tiada sebab-sebab tertentu seseorang itu boleh mendapat fibroid. Hanya sekitar 25 peratus sahaja pesakit fibroid yang mengalami simptom-simptom.

“Ini termasuklah mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak, sakit sewaktu hubungan kelamin, kemandulan mahupun masalah dubur yang disebabkan oleh tekanan akibat daripada ketumbuhan fibroid ini,” jelas beliau.

Bagi wanita mengandung pula, fibroid boleh menyebabkan komplikasi termasuk keguguran, sakit bersalin sebelum waktunya dan kesakitan akibat daripada infarksi yang berpunca daripada kekurangan bekalan darah atau menyebabkan kedudukan bayi tidak normal dan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean semasa bersalin.

Biarpun amat jarang berlaku, fibroid boleh berubah keadaannya dengan menjadi malignan, apabila ia cukup besar mahupun membesar dengan cepatnya.

* Diagnosis

Lazimnya, diagnosis dilakukan dengan mengambil kira sejarah simptom-simptom seperti yang dijelaskan di atas, atau secara kebetulan apabila pesakit menjalani pemeriksaan faraj yang berkala seperti ujian pap smear.

“Bagi sesetengah wanita yang menjalani pemeriksaan kemandulan, fibroid boleh dilihat sewaktu menjalani imbasan ultrasound.

“Imbasan ultrasound adalah sangat penting memandangkan ia juga boleh membezakan di antara sis dan lain-lain tumor pelvik,” kata Dr. Salleh.

Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di mana magnet-magnet berkuasa tinggi digunakan untuk melihat struktur tisu-tisu juga berguna walaupun ia adalah mahal.

Ia bermanfaat bagi membezakan di antara fibroid dengan adenomiosis iaitu satu keadaan yang berkaitan dengan endometriosis dan agak sukar untuk dirawat.

Katanya: “Malah, ada yang datang berjumpa doktor setelah mendapati abdomen mereka semakin lama semakin membesar seperti mengandung. Selepas pemeriksaan dilakukan barulah diketahui wanita ini mengalami fibroid.”

* Jenis-jenis fibroid

Lokasi fibroid sering mempengaruhi tanda-tanda yang dialami dan pada sesetengah kes, rawatannya.

- Fibroid submukus terdapat di bawah lapisan uterus dan boleh menyebabkan masalah haid termasuk kesakitan apabila ia membesar.

- Fibroid intramural adalah fibroid bulat yang terdapat di dalam dinding uterus yang boleh menyebabkan pembesaran uterus.

- Fibroid subserous tumbuh di luar dinding uterus dan selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda-tanda sehinggalah ia membesar dan mengganggu organ-organ lain.

- Fibroid pedunkel berbentuk gagang tercetus apabila fibroid subserous mengeluarkan tangkai atau pedunkel, membesar serta membengkok dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

- Fibroid submukus dan intramural lebih banyak mengundang kesakitan semasa haid dan mendatangkan masalah seperti keguguran. Sementara itu, subserous dan pedunkel pula boleh menyebabkan masalah kemampatan dan kesakitan terutamanya semasa kehamilan.

- Fibroid interliganmentous tumbuh di sisi di antara ligamen yang menyokong uterus di dalam abdomen dan adalah sukar untuk mengeluarkannya yang berkemungkinan menjejaskan bekalan darah.

- Fibroid parasitik, paling jarang berlaku di mana fibroid melekat pada organ lain.

Sumber : http://intim.wordpress.com

"LEBIH BAIK MENCEGAH DARI MERAWAT"
DAPATKAN SET WANITA ANGGUN SEGERA
HUBUNGI NJC
017-3389785

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...